Seo Services

Mirwana Showcase Memukau!

December 04, 2017


[ULASAN] Setelah 20 tahun penubuhan, akhirnya tahun 2017 menjadi detik bersejarah buat kumpulan Mirwana menganjurkan showcase mereka sendiri.

Mirwana Showcase yang diadakan pada 2 Disember 2017 merupakan showcase sulung buat Mirwana yang diuruskan sepenuhnya oleh mereka. Malah persembahan pada malam itu 'dikuasai' Mirwana sepenuhnya tanpa melibatkan mana-mana artis jemputan.

Saya sendiri pada awalnya tak terfikir untuk hadir ke showcase tersebut. Bagi saya, untuk hadir ke sesuatu showcase seolah 'buang masa'. Namun dek kerana minat dengan Mirwana, saya gagahkan kaki untuk hadir. Dan dalam kepala saya, saya harap ia tak merugikan.

Sebaik sahaja showcase bermula, nyata kehadiran ke showcase tersebut bukan saja tak merugikan malah rasanya tak puas. Persembahan selama lebih dari dua jam itu tidak cukup.

Mirwana berjaya membawakan semua 25 buah lagu pada malam itu dengan penuh bertenaga. Vokal Mirwana yang harmoni juga turut menjadi resepi utama dalam mengelakkan showcase tersebut dari rasa bosan.
RUANG Shah Alam, tempat Mirwana Showcase berlangsung.

Kehadiran lebih daripada 200 orang penonton sudah cukup membuktikan pemenang Tempat Ketiga Gema Gegar Vaganza 1 ini ada sengat yang sendiri. Jumlah penonton itu cukup besar dalam kapasiti ruang tempat showcase yang tertutup dan kecil.

MIRWANA YANG GILA-GILA

Menariknya, dalam segmen Tiru Haru Biru, setiap anggota Mirwana dikehendaki menyanyikan lagu-lagu artis lain dengan gaya artis lain. Segmen ini paling mencuit hati penonton dengan gelak tawa yang tak kering gusi.
Segmen Tiru Haru Biru yang memukau.

Selain itu, setiap ahli Mirwana turut membuktikan kemampuan menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka yang bukan dari genre lagu-lagu nasyid. Nyata kekuatan vokal Mirwana tak boleh dinafikan.

Sepanjang showcase ini berlangsung, semua penonton sentiasa terhibur. Tak ada seorang pun yang rasa mengantuk atau bosan. Malah para penonton turut sama menyanyikan setiap lagu yang didendangkan oleh Mirwana.

Dalam satu segmen soal jawab, ada penonton menanyakan soalan sama ada Mirwana ini kumpulan nasyid atau tak? Jawapan yang diberikan Mirwana cukup ringkas, mereka pernah menyertai Anugerah Nasyid Carta IKIM jadi itu sudah cukup menyatakan mereka juga sebahagian daripada kumpulan nasyid.

Rasanya tak kisahlah label nasyid atau vokal harmoni, yang penting mesej yang dibawa itu ada kebaikannya.

Mirwana turut mendendangkan lagu Untukmu Teman (nyanyian asal Brothers) yang ditujukan khas buat Allahyarham Salleh (Brothers) sebagai tanda penghargaan atas jasa beliau kepada Mirwana sejak kumpulan itu ditubuhkan.

SAJA sebagai pemuzik. Sumber: MIRWANA FC

Mirwana Showcase telah berlangsung di RUANG, Shah Alam. Pada malam itu, Mirwana turut mendendangkan dua single terbaru mereka, Cinta Bukan Mainan dan Kerna Kasih-Nya. Kumpulan SAJA diberi tanggungjawab sebagai pemuzik sepanjang showcase ini berlangsung.

Dengan kejayaan Mirwana Showcase kali ini, rasanya Mirwana layak untuk buat showcase dengan skala lebih besar lagi. Mungkin boleh fikirkan untuk anjurkan konsert. Secara keseluruhannya, Mirwana Showcase memang berbaloi. Harap rakaman showcase ini diterbitkan dan dipasarkan untuk para peminat.

You Might Also Like

0 comments

Flickr Images

randomposts